...


Sunday, June 27, 2010

SAJAK KEMBARA

Kembara

ada angin di layar hamil
ada lautan
di kaki basah kenyataan
ada seampaian mimpi
di lengkung langit,
ada bahasa adab
pada kibarannya
dari air ulu
mengalir bahasa dan kisah bangsa.

x

di daratan lain, di paya jauh
ada janji lain
di hutan lain tualang lain
ada bunga beza

x

sertailah gelombangku
kerana lancang
membuka mata impian
geladakku melantai dunia
olengannya merentap kebiasaan
haluan kembara mencari beza
mendengar suara laut
mengusut arah makna
di pasir teluk dan riuh pasar
aku mentelaah manusia
belajar mentadbir titik darah kekejaman,
dan musuhnya -
kasih yang bersuara percaya.
di pinggir tebing dan tali arus
aku mengumpul perbezaan
dan merayakan kelainan.

Disumbangkan oleh;
Muhammad Haji Salleh
Sasterawan Negara
Tokoh Akademik Negara 2008.

[Sumber : Jabil Mapjabil & Kadir Din. 2010. Pelancongan di Malaysia : Isu-Isu Penyelidikan Terpilih. Sintok : Penerbit UUM]

0 comments:

Kalendar aktiviti Layar Kembara